-->

Jumaat, 26 Julai 2013

Tablet A13 model Q88 tak boleh nak cas

Membaiki A13 Q88 tablet yang tidak menerima cas bekalan masuk


Masalah yang sering berlaku kepada tablet adalah salah satu darinya ialah tablet tidak dapat menerima bekalan cas bateri dari charger. Selain dari masalah charger adapter yang mempunyai masalah seperti lampu charger hidup tetapi tiada bekalan, ini mungkin disebabkan lembar wayar tembaga didalam wayar tersebut telah putus dan kemungkinan juga burden resistor yang bernilai rendah didalam charger adaptor telah open circuit atau terbakar, ini kerana resistor ( perintang ) tersebut mempunyai nilai yang rendah dan watt sekitar 2 watt dan berfungsi sebagai fius atau circuit protection.
Banyak lagi yang menyebabkan charger adaptor tidak mengeluarkan bekalan, tetapi apa yang berlaku sekarang ni ialah tablet yang saya hendak baiki ini telah berlaku dry join ( timah solder telah lekang ) pada kaki female jack adaptor ke papan litar. Setelah membuka cover belakang saya mengambil bacaan pada bateri dan hanya mendapati nilai dalam 1.10 volt dc, apabila bateri berada didalam nilai voltage ini litar tidak akan hidup sama sekali kerana minimum bekalan masukan ialah sekitar 3.5 Volt dc.
gambar diatas ini adalah tablet yang mengalami masalah pada input female jack adaptor untuk bekalan 5 Volt dc dari charger adaptor.
 Ini adalah litar utama tablet A13 selepas dibuka penutup belakangnnya....
Penutup belakang ini mempunyai tanda yang tablet ini sebelum ini pun pernah di hantar ke tempat repair dan mempunyai sticker padanya.
 Saya membuat mengambil bacaan pada input masukan dari bateri, dan sekarang ni bateri hanya mempunyai nilai sebanyak 1.10 Volt dc dan ini menunjukkan bekalan kuasa dari bateri tersebut memang tidak mampu untuk menghidupkan litar pada tablet ini.
Gambar di atas ini pula saya buatkan reference bacaan voltage untuk sesiapa yang mengalami masalah power dan lain2, setiap bahagian saya tandakan dengan menggunakan bahagian A, B, C dan D. Sekiranya ada para pembaca yang ingin mengetahui berapa nilai voltage pada litar dan hendak menggunakan reference disini saya sediakan hanya pada bahagian power iaitu dari IC AXP209 sampai kelitar bekalan dari bateri.
 ( Bahagian A ) Gambar di atas ini diambil dengan menggunakan kanta pembesar yang mempunyai kuasa sebanyak 20 X ganda. Di sini saya tunjukkan dimana letaknya kaki pada IC ini yang menerima bekalan dari charger luar 5 Volt dc. Ia adalah pada kaki 33 dan kaki 34 pada IC AXP209 ini.
 ( Bahagian B ) Ini adalah litar berkaitan bekalan kuasa ke LCD dan juga litar bekalan untuk RAM di sebelah kiri iaitu anda akan nampak inductor yang berlabel 4R7.
 (Bahagian C ) Ini menunjukkan litar power untuk RAM dan juga litar untuk bekalan kuasa dari bateri dan juga pada sebelah kana dapat dilihat LED iaitu lampu backlight untuk LCD.
( Bahagian D ) litar ini menunjukkan agihan bekalan ke CPU, SD Card dan juga litar bekalan dari USB yang mana ia menerima bekalan luar dari USB dan juga akan menghantar keluar balik bekalan ke USB socket.
 Sublitar Wifi yang menggunakan Realtek IC Microprosessor.
Di atas ini adalah IC untuk sistem masa sebenar dan juga kalendar, iaitu 8653t atau PCF8563T.
 Di atas ini menunjukkan kegunaan pada setiap kaki pada IC 8563T disertakan dengan penerangannya.
 Ini adalah litar skematik dalaman IC 8563T yang menunjukkan bagaimana ia bekerja.
Dan ini pula adalah gambaran untuk IC 8563T dan disertakan dengan nombor pakej iaitu TSSOP8.
 Ok kita kembali kepada kerja pembaikan, di atas ini saya tunjukkan kaki female power adaptor yang mempunyai masalah dry join pada kakinya. Ini disebabkan kaki adapter tadi tidak bersentuhan dengan litar kerana timah solder yang ada telak lekang dan menyebabkan litar sekarang berada didalam open circuit.
 Di sini saya menguji bekalan kuasa dari keluaran power adaptor yang mempunyai 5 volt dc.
 Ok, setelah mengenal pasti bahagian yang bermasalah saya mula merawat dengan mematri balik bahagian yang lekang pada kaki power adaptor.
 Sekarang ni saya meletakkan klip buaya kekaki power adaptor untuk memudahkan kerja pengujian litar sama ada ia mempunyai continuity ( keterusan ) atau tidak.
Probe hitam (-) disambungkan pada wayar yang mempunyai klip buaya.
Untuk membuat pengujian bagi keterusan ( continuity test ) meter hendaklah di laras pada range diode test dan sekarang pada display meter menunjukkan bacaan infiniti atau tiada bacaan.
Letakkan probe merah (+) ke kaki 33 dan juga kaki 34 pada IC AXP209 dan sekarang ni meter akan menunjukkan bacaan 001 bermaksud arus elektrik telah lengkap dan ini menunjukan litar ini telah berada didalam normal dan tiada open circuit atau litar terbuka yang menghalang arus dari sampai dari satu point ke satu point.
Video di atas ini saya tunjukkan bagaimana untuk membuat continuity test pada point kaki power adapter ke kaki IC AXP209 iaitu pada kaki 33 dan 34.
Dan video di atas ini pula bagaimana kerja pengujian dan selepas mematri balik poin kaki power adapter yang dry join dan memasang kembali semua komponen seperti biasa dan menguji litar dengan memasukkan bekalan dari charger dan memastikan dalam android system boleh detect yang sekarang ni litar dalam charging mode.
Ini adalah gambar yang menunjukkan model dan version tablet android tersebut.
Akhirnya tablet yang mengalami masalah tidak dapat di cas dengan charger adapter tadi sekarang sudah pun kembali normal.... Setakat ini saya kongsikan pengalaman bersama para pembaca dan insyaallah sekiranya ada kebaikan ianya datang dari Allah dan sekiranya ada keburukan ianya datang dari diri saya yang lemah...

Sabtu, 20 Julai 2013

Bagaimana nak buat mesin polish kereta

Mesin Polish kereta 12 Volt dengan harga yang murah


Bila sebut mesin polish kereta ni, ramai mahu membeli mesin yang terbaik dan mahal di pasaran. Bagi diri saya, saya lebih suka menggunakan bahan2 terpakai yang boleh diguna balik ini kerana disamping menjimatkan kos dan boleh memberi manfaat kepada diri saya.
Kali ini dalam bab rekacipta ialah membuat mesin polish 12 Volt yang boleh untuk kerja polishing body kereta dan juga boleh digunakan untuk sanding mesin. Saya sering kali ingin membuat mesin yang portable yang mana tidak perlu menggunakan bekalan yang tinggi seperti 240 Volt dan ia boleh digunakan dimana saja kita berada.
Di sini saya menggunakan blower motor yang digunakan oleh penghawa dingin kereta sebagai motor untuk mesin polish saya.
Contoh motor blower adalah seperti di dalam gambar di atas. Motor blower ini biasa terdapat di bawah dashboard kereta di mana ia berdekatan dengan cooling coil untuk alat penghawa dingin ( Air Cond.) bagi sesebuah kereta.
Motor blower ini mempunyai dua wayar sahaja iaitu untuk wayar positif ( + ) dan satu lagi wayar negatif ( - ) dan ianya beroperasi dengan menggunakan bekalan 12 Volt dari Bateri.
 Bahan yang kedua adalah backing pad yang mempunyai female tread untuk mengunci di bahagian tengahnya. Backing pad ini bersaiz 4 inci, dan permukaannya mempunyai pelekat jenis strap hooks and loop.
Gambar di atas menunjukkan permukaan kain yang mempunyai pelekat hooks and loop.
Di atas ini menunjukkan bagaimana pelekat hooks and loop tadi berfungsi untuk meletakkan kertas pasir yang ada mempunyai hook and loop.
Di sini saya tunjukkan gambaran shaft untuk blower motor yang mempunyai thread dan juga nut pengunci.
Letakkan backing pad tadi betul-betul dalam keadaan tengah dan sekarang, masukkan washer dan kuncikan dengan menggunakan nut. Ok, sekarang ni bancuh fiber kompoun dan masukkan kedalam lubang tengah tadi.
Saya menggunakan 3 core wayar yang bersaiz 2.5mm untuk disambungkan kepada wayar motor dan meletakkan cable clip pada penghujung wayar supaya mudah untuk menyambungnya kebekalan bateri.
 Inilah jenis fiber kompoun yang saya gunakan, ia boleh didapati dikedai hardware dan kedai yang menjual spare part kereta.
 Ini adalah dua jenis kain untuk membuat kerja polishing yang saya gunakan.
 Ini adalah kain untuk mengilap wax dan dibelakang kain ini akan melekat kepada backing pad tadi.
Dan ini pula ialah kain untuk kerja polishing iaitu untuk memotong permukaan clear selepas kerja mengecat dan dibelakangnya juga melekat kepada backing pad.
Gambar di atas ini menunjukkan bagaimana kain span tadi melekat pada backing pad.

Ini lah mesin polish saya, walau pun tak mahal tetapi saya berpuas hati kerana ia telah banyak digunakan dalam kerja sanding dan polishing. Semoga dengan informasi ini dapat menjadi inspirasi kepada para pembaca dan insyaallah akan datang saya akan beri lebih banyak lagi berkaitan dengan rekacipta dan seandainya ada kebaikan itu datangnya dari Allah dan sekiranya ada keburukan ia datangnya dari kelemahan diri...

Khamis, 18 Julai 2013

Asas elektrik A/C atau AU

Asas A/C ( Alternating Current ) atau AU ( Arus Ulangalik )


Elektrik, lektrik, current sering menjadi sebutan iaitu cara mereka memanggil ia. Elektrik ini terbahagi kepada dua jenis iaitu kalau dalam format melayu AU ( Arus Ulangalik ) dan AT ( Arus Terus ) dan dalam english pula atau kebiasaan ialah AC ( Alternating Current ) dan DC ( Direct Current ).

Dimana kita boleh mendapat bekalan AC atau AU ini?

Arus ulang alik (AU) ini kebiasaan mudah kita dapati di rumah contohnya dekat soket 3 pin dan suis lampu iatu adalah pada pandangan umum....
Bagi sesiapa yang pernah belajar tentang asas bekalan elektrik, memang mudah bagi mereka memahami apa itu sebenarnya elektrik dan disini saya ingin kongsikan bersama para pembaca yang tidak pernah mempelajarinya dan mungkin tidak tahu dari mana wujudnya elektrik dan apakah puncanya.

Boleh ke kita lihat arus elektrik?

Secara amnya tidak, kerana ia adalah sifat bagi elektrik iaitu tidak nampak pada pandangan mata tetapi kita boleh merasakan kehadirannya...
Ok, di sini saya berikan satu contoh bagaimana cara ia bergerak dan kita dapat merasa kehadirannya, iaitu cuba ambilkan dawai besi yang panjangnya dalam pendek sahaja dan pegang dihujung dawai tersebut, sambil dihujung yang satu lagi bakarkan ia dengan api dan dalam beberapa saat kita akan merasa panas pada dawai tersebut. Begitulah cara pergerakan jisim elektrik pada dawai tadi yang di buat daripada besi dan besi adalah salah satu unsur yang boleh mengalirkan jisim elektrik dan ia di panggil pengalir.

elektrik AU adalah mempunyai aliran arus yang sentiasa berulang alik, maksudnya aliran arus yang dihantar itu pergi dan kemudian ia datang balik tidak putus. AU mempunyai sifat gelombang yang tidak tetap iaitu sekejap ia menghasilkan arus positif dan sekejap ia menghasilkan arus negatif. Tetapi harus diingat, AU atau AC tidak mempunyai polarity.

Apa itu polarity?

Polarity adalah sifat bagi elektrik AT sahaja iaitu ia mempinyai polarity positif ( + ) dan juga polarity negatif ( - ).Contoh arus elektrik yang mempunyai polarity ini ialah seperti bateri yang ada simbol positif ( + ) dan negatif ( - ).

Berbalik kepada elektrik AU, ia mempunyai sifat gelombang iaitu seperti yang saya ceritakan diatas tadi sekejap di jadi nilai positif dan sekejap ia kosong tiada nilai dan sekejap ia menjadi negatif.

Bentuk gelombang: satu bentuk gelombang graf antara kuantiti ulangalik (voltan atau semasa) dan masa. Sebagai amalan biasa kuantiti ulangalik diambil bersama Y - paksi masa dan di sepanjang paksi - X. Rajah (a), (b) dan (c) menunjukkan pelbagai jenis bentuk gelombang - sinus, persegi dan segi tiga, dan lain-lain Sebagai mudah untuk digunakan pengiraan, bentuk gelombang yang paling popular adalah bentuk gelombang sinusoidal.

 Di atas ini saya berikan contoh bagaimana sifat gelombang yang ada pada elektrik AU ( Arus ulangalik ). Tidak semestinya AU ni, nilai voltan hanya yang kita tahu secara amnya adalah 240 Volt seperti pendawaian elektrik dirumah.

Pengalaman yang lepas semasa saya bekerja sebagai Testing and Commissioning Site Power Station banyak memberi pengalaman kepada saya bagaimana cara menjana elektrik ini di tapak Janakuasa...
Stesen terbesar seperti Janakuasa yang menghasilkan voltan tinggi sebanyak 250,000 Volt iaitu bersamaan dengan 250 Kv adalah power station yang besar.
Kebanyakan sistem Janakuasa kita di Malaysia ini menggunakan tenaga Hydro, Diesel, Gas dan arang batu sebagai proses menghidupkan turbine generator dan menghantar ke transformer sebelum sampai ke switchgear room yang mengawal semua perjalanan sistem angkat naik ( step up ) dan sistem angkat turun ( step down ) sebelum diagihkan kepada nilai voltan yang kecil.

Apa yang selalu kita nampak ialah bekalan kuasa 240V A/C dan kekadang di bagunan yang besar-besar ada tanda 415V A/C.Tetapi bab pembahagian kuasa ini akan saya ceritakan pada masa yang akan datang.

Ada ke bekalan AU yang kecil nilainya?

Ya memang ada dan sentiasa wujud disekeliling kita, seperti televisyen dirumah yang menghasilkan suara, elektrik yang terhasil untuk menhidupkan gegelung speaker tadi disebabkan berlakunya gelombang dalam aliran bekalannya dan menghasilkan getaran kepada kertas speaker itu sendiri. Yang paling rapat sekali dengan kita ialah handphone yang speakernya mengashilkan getaran supaya kita boleh mendengar suara darinya. Jam tangan analog atau jenis jarum yang mempunyai gegelung untuk menghidupkan mekanikalnya, dalam kereta pula alternator yang menghasilkan voltan sebanyak 110 ~ 150 Volt A/C dan diubah dengan menggunakan sistem diode dan bertukar menjadi arus terus untuk pendawaian dalam kereta dan juga mengecas bateri dan banyak lagi sebenarnya kewujudan arus AU ini disekeliling kita.

Saya ceritakan ini sebagai pengenalan sahaja kepada arus elektrik AU dan berharap ia memberi kefahaman kepada para pembaca dan banyak lagi berkaitan dengan AU ini dan insyaallah saya akan sambung pada artikel yang akan datang dan sekiranya ada kebaikan itu dari Allah dan seandainya ada keburukan ia dari kelemahan diri saya... Sekiranya masih ragu dan ingin memperbetulkan mungkin ada yang saya tersilap saya sedia mendengar...

Rabu, 17 Julai 2013

Kerja membaiki body kereta yang accident

Kerja membaik pulih body kereta yang paling mudah dan mengecat dengan harga yang murah...


Cerita bab kemalangan ni banyak yang akan risau, kerana bila berlaku kepada kereta pula nak kena repair lagi dan kos mengecat lagi.... mesti terfikir dikepala berapalah nak kena bayar kerja repair pula ni... sebab tu disini saya berikan beberapa tip bagaimana hendak membuat kerja membaiki body, memasang body ganti, dan sedikit berkaitan dengan kerja mengecat....
Gambar di atas saya ambil semasa kereta ini masih dirumah ownernya lagi, secara kasar dapat dilihat keadaan boot enjin yang kemek dan tulangnya dah patah...
Ok disini pula dapat kita lihat fender kanan dan juga lampunya telah mengalami keadaan yang teruk.
Di atas ini adalah pandangan dari tepi kanan kereta tersebut, boot, fender, lampu dan bracketnya serta tulang bumper pun dah rosak teruk. Semasa saya sampai kesini, tuan kereta mengatakan yang bumper sebelah kanan ni baru je di tukar dengan fender yang baru dan tak sempat lagi nak cat dah berlanggar pulak... Nak buat macam mana semua dah ketentuan dan yang penting nyawa masih selamat... Alhamdulillah....
 Ok, sekarang ni saya dah bawa balik kereta ni ke rumah saya dan nak mulakan operasi, merawat pesakit. Tpi semasa nak bawa balik saya sekali lagi dikejutkan dengan insiden iaitu tiba2 boot enjin depan terbuka semasa berada diatas jalan raya, nasib baik sahabat saya berada dibelakang kereta menyedari masalah saya dan pada masa tu pula kereta tak ada... masa tu saya cuma membawa kereta tersebut dengan kelajuan 40kmh pada pukul 1.00 pagi...Insiden ini berlaku kerana tulang dan boot enjin tidka boleh di kunci disebabkan kemalangan tersebut.
 Menyediakan peralatan untuk membuat kerja, pertama sekali membuka bumper hadapan kerana mahu melihat tulang atau bracket untuk bumper tersebut boleh digunakan lagi atau tidak? selain dari yang saya nampak pada masa tu.
Fender sebelah kanan sudah saya buka semasa di rumah ownernya lagi, kerana kereta tak boleh jalan sebab besinya terkena pada bahagian tayar.

 Dalam kes ini nasib baik tulang chasis nya tidak bengkok, hanya remuk pada bahagian dalam dan muka depan serta bracket lampu pun tersepit, sehingga tidak nampak bolt dan nut untuk membukanya.
Pandangan dari atas keadaan lampu tadi, dan juga bahagian dalaman yang remuk masuk kedalam.
Setelah lampu tadi berjaya dibuang, sekarang yang menjadi masalahnya ialah bracket lampu tadi agak sukar untuk dibuka kerana keadaan screw bolt dibahagian bawah tidak nampak kerana ia kemek ke dalam dan cara nya hanya mengetuk dan menekan keluar menggunakan jack 2 tan.
Di sini saya tunjukkan secara ilustrasi bagaimana cara menggunakan jack 2 tan untuk menolak bahagian yang kemek pada bahagian lampu yang masuk kedalam, selepas ianya berada didalam keadaan yang hampir seperti asal dalam 80% barulah saya mengetok menggunakan tukul besi sedikit demi sedikit.
 Permukaan yang kemek tadi sekarang sudah berada didalam keadaan yang  elok dan sekarang, bracket lampu tadi saya dah keluarkan dari tempatnya...
 Semasa proses mengetuk dan membentuk semula, saya menggunakan peralatan seperti batang paip 1 inci, kayu 2X2 panjang dalam 4 kaki, bongkah kayu dan alat tukang seperti tukul besi, monkey player, screwdriver, pahat besi, drill, mata drill dan pengapit G.

Sebelum membetulkan bahagian permukaan yang kemek saya harus membuang spot weld dengan menebuk menggunakan drill dan saiz mata yang betul supaya dapat memisahkan bahagian tanpa merosakkannya.
Kalau saudara masih ingat kenapa saya membuat welding stick yang currentnya tak berapa besar kerana ia memudah kan saya membuat welding pada bahagian tin yang nipis dengan menggunakan rod yang sedang dengan nilai current digunakan. Kerja mewelding ni selepas kerja mengetuk dan membaik pulih permukaan kemek itu siap baru saya mencantumkan balik bahagian spot weld yang saya buka tadi..
 Bahagian yang telah siap tadi saya bersihkan dulu sebelum menyapu cat antioksida, perlu di ingat kerana setiap kerja selepas membakar permukaan besi dengan menggunakan welding gas atau welding stick, bahagian itu yang akan cepat berkarat sekiranya kita tidak menyapu dengan cat anti karat.
 Bahagian depan pun dah di sapu dengan cat anti karat dan fender secondhand pun dah dipasang. Kerja saya menjadi mudah kerana semua part ada kereta lama tuannya yang boleh diambil untuk dijadikan spare part keretanya yang ini.
Di sini saya mentouch up permukaan yang tak elok dengan putty atau simen. Memadai menggunakan simen jenis halus dan menggunakan kertas pasir gred 360 untuk mengosok semua permukaan fender ini sebelum kerja mengecat.
 Di atas ini saya kongsikan bagaimana secara ringkas saya membuat persediaan membalut tempat dengan menggunakan kertas surat khabar dan kain sebagai penutup cermin depan. Ada baiknya semburkan sedikti kain tersebut dengan percikan air menggunakan spray gun dan jangan sampai terkena bahagian yang hendak di cat. Dan setiap lubang2 yang ada pada permukaan yang hendak dicat lebih elok di sumbat dengan plastik atau surat khabar, supaya semasa menyembur cat nanti habuk atau kotoran yang berada didalam lubang tersebut tidak keluar disebabkan angin spray gun. Begitu juga bahagian2 kecil seperti plate nama dan model di balut menggunakan tape kertas, sekiranya kita tidak mahu menyembur sekali pada bahagian tersebut.
 Beginilah keadaan kereta ini setelah selesai dicat menggunakan cat biasa.
 Memasang bracket lampu, iaitu menggunakan braket secondhand dan kena modified sedikit kerana model kereta ini tidak sama tetapi Alhamdulillah akhirnya boleh dipasang pada tempat asalnya.
 Setelah kerja memasang balik semua komponen, dan beginilah keadaan kereta yang baru lepas dicuci untuk membuang habuk dan dijemur untuk mempercepatkan proses pengeringan sampai ke dalam permukaan cat tersebut.
Dan ini adalah pandangan dari depan setelah dipasang lampu, bumper, signal dan lain2 komponen yang ada selepas kerja mengecat dan membaiki.
 Untuk kerja mengecat kali ini saya menggunakan cat sissons gloss paint untuk permukaan besi.
Di sebabkan kereta ini jenis kereta lama, jadi sukar juga bagi saya untuk mendapat warna asal dan disebabkan itu saya terpaksa membeli cat jenis kelabu dan hitam. Kedua-dua cat ini saya campurkan sedikit demi sedikit untuk mendapat bancuhan warna yang hampir sama dengan warna asal kereta ini.
Setelah agak 30 minit mencampur dan menguji akhirnya warna kelabu tua yang hampir sama dengan warna asal pun berjaya saya buat dan dengan menggunakan sedikit thinner untuk mempercepatkan proses pengeringan cat dicampur mengikut nisbah 3:1.
Dalam setiap video saya kemungkinan para pembaca tidak perasan kenapa semasa kerja mengecat kompressor saya tidak berbunyi, ini kerana saya menggunakan kompressor angin buatan sendiri seperti yang saya maklumkan pada artikel yang lepas. Saya menggunakan kompressor ini sudah masuk 4 tahun dan alhamdulillah banyak berjasa kepada saya, walaupun nampak macam besi buruk tetapi apa yang terbaik pada kita ialah kepuasan dalam membuat sesuatu kerja yang mendatangkan hasil.
Ok sampai disini saja buat kali ini dan insyaallah di lain masa saya akan kongsikan lebih banyak lagi DIY yang boleh memberi inspirasi dan keyakinan buat semua. Yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu datangnya dari kelemahan diri sendiri...